PENGENALAN
Pengisian blog ini adalah berkisar pada bidang tamadun. Topik yang akan dipaparkan dalam paparan bergambar adalah berkenaan dengan konsep dan ilmu ketamadunan. Perbincangan berikutnya menjurus pada konsep tamadun Islam. Manakala bagi korpus tamadun Asia, skopnya terarah pada tiga tamadun utama di Malaysia khasnya, iaitu tamadun Melayu, Cina dan India. Selain itu, paparan akan ditunjangkan juga pada isu-isu semasa dalam cabaran globalisasi dan hegemoni barat. Diharapkan paparan ringkas akan dapat membantu para penyelidik, pendidik, pelajar dan peminat ilmu ketamadunan khasnya di bumi Malaysia. Pada masa akan datang, laman ini diharap dapat terus berfungsi dan mula menyalurkan perbincangan mengenai sejarah, khasnya sejarah Islam dan sejarah Malaysia. Kedua-duanya merupakan fokus yang harus diutamakan, kerana dalam konteks kita di Malaysia, sejarah Islam sangat berkait rapat dengan sejarah Malaysia. Kemasukan Islam ke Tanah Melayu sekitar abad ke 12M atau 13M telah mencorakkan perubahan besar terhadap sejarah Malaysia dari segenap aspek. Mudah-mudahan, usaha yang sedikit ini mendapat perhatian dari Allah Maha Esa dan dapat memberikan manfaat pada sekalian yang mengunjung.